Pages

Tuesday, 6 December 2016

Akhirnya, Pembunuh Altantuya Di Australia Terima Dokumen Mahkamah

Akhirnya, Pembunuh Altantuya Di Australia Terima Dokumen Mahkamah


PETALING JAYA: Salinan pindaan terhadap penyata tuntutan dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu berjaya diserahkan kepada pembunuh model Mongolia itu yang kini berada di pusat tahanan Australia, kata peguam Ramkarpal Singh.

Ramkarpal yang mewakili keluarga Altantuya berkata, proses penyerahan itu akhirnya dapat dilakukan selepas penghantar saman menyerahkan salinan penyata tuntutan kepada Sirul Azhar Umar di Pusat tahanan Imigresen Villawood di Sydney, baru-baru ini.

“Saya kini menunggu makluman rasmi daripada penghantar saman Australia. Selepas itu saya akan maklumkan kepada mahkamah pada tarikh pengurusan kes minggu depan,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 26 Oktober untuk mendengar sama ada penyata tuntutan sudah diserahkan kepada Sirul atau tidak.

Ramkarpal berkata Sirul diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dokumen itu untuk membalasnya sama ada mahu mencabar atau tidak pindaan terhadap tuntutan itu.

“Secara asasnya, kami hanya mahu memasukkan yang sabitan terhadap Sirul dan Azilah Hadri disahkan oleh Mahkamah Persekutuan tahun lalu,” katanya.

Katanya, beliau berharap perbicaraan boleh dijalankan pada pertengahan kedua tahun depan.
Ramkarpal berkata Azilah yang kini di penjara Kajang juga diserahkan salinan tuntutan itu tetapi beliau atau peguamnya masih belum menjawab.

Tahun lalu, peguam itu turut cuba mendapatkan Kementerian Luar untuk menyerahkan dokumen mahkamah kepada Sirul tetapi tidak menerima respons.

Ramkarpal berkata keluarga Altantuya “sudah menunggu terlalu lama” sepanjang 10 tahun untuk tuntutan saman itu dilaksanakan.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan 2 cucu mereka menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang turut disabitkan bersalah membunuh Altantuya, sebanyak RM100 juta.

Mereka mendakwa wujudnya konspirasi dalam pembunuhan model dari Mongolia itu.

Tuntutan saman pada 2007 itu tertangguh kerana perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Tinggi yang kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sirul dan Azilah, kedua-duanya anggota polis disabitkan bersalah membunuh Altantuya oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

Mereka kemudian berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013. Mahkamah apex kemudiannya mengembalikan sabitan terhadap mereka tahun lalu dan menjatuhkan hukuman mati.

Sirul tidak hadir pada hari keputusan akhir disampaikan kerana lari meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Razak, yang pada awalnya didakwa kerana bersubahat membunuh Altantuya, dibebaskan di akhir kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan.

sumber: gigitankerengga
-fmt

No comments:

Post a Comment