Pages

Wednesday, 28 December 2016

Enam Sekeluarga Maut Dikurung Perompak Dalam Bilik Air...

Enam Sekeluarga Maut Dikurung Perompak Dalam Bilik Air...
Jakarta: Enam sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak maut selepas dikurung sehari semalam bersama lima lagi yang selamat dalam sebuah bilik air kecil di sebuah rumah di Pulomas Utara, Pulogadung, Jakarta Timur di sini.
Keenam-enam mangsa itu dipercayai meninggal dunia awal pagi tadi, akibat sesak nafas kerana kekurangan oksigen selepas dikurung sejak pagi semalam dalam bilik air seluas 1.5 meter lebar dan 1.5 meter panjang itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Residen Jakarta Timur Sapta Maulana berkata, semua yang maut dan selamat itu ditemui sekepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu pagi tadi.
"Kesemuanya sebelas orang dikurung perompak dalam bilik air yang kecil dan pintu bilik air itu dikunci dari luar sejak Isnin," katanya dipetik media dalam talian tempatan hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu hanya disedari hari ini oleh seorang saudara perempuan mereka yang mengunjungi rumah berkenaan pagi tadi.
Katanya, saudara mereka, Sheila Putri yang kebetulan mengunjungi rumah itu kira-kira 10 pagi, terkejut apabila pintu pagar dan pintu rumah berkenaan terbuka luas dan apabila masuk, terdengar suara orang menjerit meminta tolong.
Sheila Putri menghubungi polis meminta bantuan dan sebaik polis membuka pintu bilik air itu, enam mangsa sudah meninggal dunia.
Lima lagi dikejarkan ke hospital kerana lemah serta luka melecet akibat terpaksa berhimpit dalam bilik air itu.
Katanya, mereka yang maut itu ialah tuan rumah yang juga seorang arkitek dikenali sebagai Dodi Triono, 59, dua anak perempuannya Diona Arika Andra Putri, 16, dan Dianita Gemma Dzalfayla, 9, dua pemandunya berumur 40-an dan seorang lelaki dipercayai anak teman Dodi.
Mereka yang cedera dan dimasukkan ke hospital ialah seorang wanita dikenali sebagai Emi berumur 41 tahun, seorang lagi anak perempuan Dodi bernama Zanette Kalila Aazaria, 13, dan tiga pembantu rumahnya Fitriyanim, Windy dan Santi berumur antara 22 dan 23 tahun.
Polis setakat ini belum mengesahkan barangan yang telah dirompak dan masih meneruskan siasatan serta mengumpul bukti.


Sumber- http://kopi-tampal.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment