Isteri Diam, Bukan Tanda Semuanya 'OK'
Kebiasaannya, tugas-tugas mengemas rumah dan menjaga anak seringkali diserahkan kepada isteri sepenuhnya. Berapa ramai suami yang membantu isteri melakukan kedua-dua perkara itu apabila balik dari kerja? Lebih memenatkan lagi bila isteri yang juga bekerjaya terpaksa melakukan kesemua itu seorang diri.
Tertekan di tempat kerja, ditambah pula dengan tekanan di rumah boleh menyebabkan mood isteri menjadi negatif. Namun kebanyakkan isteri mengambil langkah untuk mendiamkan diri dan nampak seperti okay sahaja melakukan semua kerja itu kerana tidak mahu bertengkar dengan suami.
Sebagai suami, sepatutnya cuba mencari jalan meringankan bebanan isteri walaupun isteri hanya sekadar surirumah. Jadi surirumah sepenuh masa pun penat, lebih-lebih lagi ada anak ramai.
Jadi, bagaimana caranya untuk meringankan bebanan mereka? Ikuti nasihat dari Puan Nurul Ilyani di bawah.
Oleh Puan Nurul Ilyani
Hari ini saya mahu cerita. Mungkin suara segelintir isteri, mungkin juga bukan suara semua. Dulu, apabila saya penat, semua saya cerita dengan suami. Saya membebel dan bercakap pasal semua penat saya. Membebel ya, bukan meluahkan. Meluahkan, sangat positif. Membebel, negatif. Baca terus hingga perenggan akhir nanti.
Apabila saya mula mendidik anak sepenuh masa, saya pula belajar komunikasi teknik Nabi SAW dalam parenting. Saya jadi bercakap perkara-perkara yang penting dan bagus saja, walaupun hari itu saya lalui dengan teruk sekali. Ia bagus agar minda saya kekal positif. Apabila saya asyik merungut dan menyebut-nyebut perkara negatif, saya akan jadi lebih negatif.
Suami, isteri kalau yang pandai mengawal emosi, mereka banyak diam. Mereka telan dan selesaikan. Semua masalah hiruk pikuk di rumah, semua diselesai sendiri. Daripada tak dapat makan dengan tertib, mandi dan urus diri dengan sempurna, semua dia diam. Diam dia bukan dia OK dengan semua ini. Diam dia kerana dia mahu kekal POSITIF menjalankan tugas dia sebagai isteri dan ibu.
BERI 'GANJARAN' KEPADA ISTERI
Suami, tak banyak pun perlu buat. Apabila balik kerja, beli makanan kegemaran dia. Hari-hari pun tak apa. Suami saya selalu beli nescafe ais ikat tepi kegemaran saya walaupun kadang-kadang lupa. Suami kata tak elok, tetapi saya teringin juga. Air sejuk itu buat saya gembira dan kurang penat. Kalau isteri gemar makan mahal-mahal dan kalau hari-hari beli pokai juga. Beli hadiah kecil-kecil yang comel. Di kedai Hinode pun banyak.
BANTU ISTERI URUSKAN ANAK-ANAK
Suami apabila balik kerja, nampak isteri sibuk kalut, terus ambil anak-anak. Suruh isteri masuk bilik rehat 30 minit, biar urus diri atau kalau anak-anak sudah besar, bawa keluar jalan-jalan. Sekurang-kurangnya dapat isteri tadi bersosial dengan WhatsApp group kawan-kawan solehah dia atau buat posting ilmiah di Facebook. Itu sebagai 'booster' untuk tenaga dia sampai keesokan hari.
PUJI ISTERI SEKALI-SEKALA
Suami apabila balik, tak banyak, sekali puji dan ucap terima kasih. Ya Allah, isteri, sekali tuan-tuan cakap,
"Terima kasih jaga anak-anak, sayang memang isteri dan ibu yang bagus."
Percayalah walaupun dia macam malu-malu kucing, dalam hati dia macam ada gendang yang dipalu-palu. Gitu.
Suami, apabila malam sudah tenang-tenang, tanya soalan,
"Hari ini sayang okay? Sayang buat apa?"
Walaupun tuan-tuan tahu hari-hari buat benda sama. Ya Allah tak tahu kata apa, isteri walaupun dia jawab nak tak nak tapi dia suka. Kalau dia stress masa ini, dia luah semua. Ini baru komunikasi positif. Sebenarnya, isteri mahu rasa diberi perhatian, rasa diambil tahu. Dia bukan minta rumah 10 buah, emas 1 tempayan tetapi dia mahu perhatian, secure dan sayang.
Barulah jadi suami isteri positif, mendidik anak-anak positif, lahir keluarga positif. Apa-apa kita jumpa di Bangi nanti. Kita story banyak lagi. - Ummu Ilham | The Reporter
No comments:
Post a Comment