Thursday, 22 December 2016

Pendedahan..Jangan Beli Hartanah Dalam Kategori Ini, Peguam Ini Perjelaskan Risikonya..

Pendedahan..Jangan Beli Hartanah Dalam Kategori Ini, Peguam Ini Perjelaskan Risikonya..


Artikel ini adalah hasil perkongsian dari Peguam Hartanah, Tuan Salkukhairi Abd Sukor melalui laman Facebook Beliau

JANGA BELI HARTANAH DALAM KATEGORI INI KERANA IANYA BERISKO


Masih ramai masyarakat kita khususnya orang Melayu yang terlibat dengan pembelian hartanah berikut walaupun telah dimaklumkan akan risikonya. Antaranya:

1. Beli tanah lot banglo tiada geran indivudu berstatus bangunan

2. Beli tanah felda / tanah GSA

3. Beli rumah sambung bayar loan pemilik

4. Beli tanah pusaka sedangkan dalam geran masih nama si mati

5. Beli rumah dalam geran masih nama pemaju dan belum dipindahmilikkan kepada pemilik asal, dan pemaju pula telah "bankrup".

6. Beli hartanah yang bukan milik pemilik sebenar

7. Beli tanah TOL

8. Beli rumah dengan pemaju yang tiada lesen pemajuan perumahan yang sah

9. Beli rumah murah di bawah skim yang pelik-pelik

10. Beli rumah lelong yang ada kaveat

Alasan kenapa ramai orang kita beli hartanah di atas adalah kerana IANYA NAMPAK MURAH walaupun hakikatnya ianya tidak lah murah mana pun.

Apalah gunanya beli murah kalau hartanah yang anda beli tersebut tidak akan menjadi milik anda pun. Bahkan anda akan berhadapan dengan pelbagai masalah dan kesusahan yang memeningkan kepala anda selepas membelinya. Adakah ianya berbaloi?

Bila saya nyatakan ianya berisko, ramai yang tanya dari sudut mana yang dikatakan berisiko tersebut?

Sebenarnya risiko-risko tersebut wujud dari banyak sudut. Antaranya:

1. Hartanah tersebut tiada geran indivudu. Apabila tiada geran individu, bagaimanakah ianya boleh dipindahmilikkan kepada pembeli. Sedangkan dari segi perundangan, hak, kepentingan dan pemilikan seseorang terhadap sesuatu hartanah hanya diiktiraf dan dilindungi oleh undang-undang apabila ianya telah dipindahmilikkan kepada pembeli tersebut. Contohnya beli tanah lot tiada geran individu berstatus bangunan. Mustahil ianya boleh dipindahmilikkan kepada nama anda sedangkan geran individu pun belum wujud.

2. Pemilik berdaftar dalam geran bukanlah nama pemilik sebenar. Jika pemilik berdaftar dalam geran masih nama orang lain, bagaimanakah ia boleh dipindahmilikkan kepada nama pembeli. Jika hendak dipindahmilik terpaksalah dipindahmilikkan kepada nama pemilik asal terlebih dahulu, kemudian barulah boleh dipindahmilikkan kepada nama anda. Contohnya beli tanah pusaka yang masih nama si mati, beli hartanah dalam geran bukan nama pemilik asal dan beli rumah di mana dalam geran masih nama pemaju.

3. Terdapat halangan perundangan yang menyebabkan ianya tidak boleh dipindahmilikkan kepada nama anda sebagai pembeli . Misalnya pembelian tanah TOL atau beli tanah felda / tanah GSA, di mana pindah milik tidak boleh dibuat melainkan atas kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang berkenaan. Begitu juga dengan beli rumah lelong yang ada kaveat di mana ianya tidak dapat dipindahmilikkan kepada nama anda melainkan kaveat tersebut dibatalkan atau ditarik balik.

4. Transaksi tersebut tidak mematuhi peruntukan undang-undang atau tidak mematuhi amalan guaman hartanah yang sebenar. Misalnya, beli rumah dengan cara sambung bayar loan pemilik asal atau beli rumah dengan pemaju yang tiada lesen pemajuan perumahan yang sah atau beli rumah melalui skim perumahan yang pelik-pelik dan tidak diiktiraf oleh undang-undang atau amalan guaman hartanah yang biasa.

Apabila saya nyatakan ianya berisko, mesti akan ada yang tanya, bagaimanakah kalau saya buat Surat Perjanjian, atau buat Surat Kuasa Wakil, Surat Ikatan Amanah, Surat Akuan Bersumpah dan lain-lain surat untuk melindungi hak saya? Dan saya lantik peguam untuk sediakan nya. Adakah ianya masih lagi berisko?

Saya akan jawab soalan tersebut dalam posting akan datang.

Sebelum tu jika posting ini bermanfaat , sila LIKE/KOMEN/SHARE.

Yang benar,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)


Sumber- http://www.himpunanceritalawak.com

No comments:

Post a Comment